Monday 25 July 2011

Penculik hantar SMS ancam sembelih Nazar

SITI HAMDAH menunjukkan SMS yang dihantar penculik.
SITI HAMDAH menunjukkan SMS yang dihantar penculik.

Keluarga makin buntu kumpulan desak bayar segera wang tebusan


KUALA LUMPUR: Keluarga Mohd Nazarrudin Saidin, 38, yang masih dalam tahanan kumpulan penculik di selatan Filipina, trauma selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kumpulan itu mengancam akan menyembelih mangsa jika wang tebusan tidak dibayar secepat mungkin.

Terdesak dengan perkembangan terbaru itu, bapa Mohd Nazarrudin, Saidin Aziz bersama isteri, Siti Hamdah Ahmad dan seorang lagi anak mereka, Mohd Lukman Saidin bergegas ke pejabat Kelab Putera 1Malaysia merayu bantuan Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu menyelamatkan Nazaruddin.
“Saya sudah hilang punca, tidak tahu ke mana hendak meminta tolong. Saya sudah ke sana ke mari menagih simpati tetapi tiada pihak yang benar-benar membantu.

Monday 18 July 2011

Jantina ditentu ketika lahir

MOHD ASHRAF HAFIZ...sudah tukar jantina
                                                                 MOHD ASHRAF HAFIZ...sudah tukar jantina






KUALA TERENGGANU: “Walaupun pemohon sudah menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.”
Demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya ketika menolak permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz, semalam. 
Selain itu, kata Mohd Yazid, tiada laporan lengkap daripada pihak hospital bersabit pembedahan jantina yang dibuat terhadap Mohd Ashraf Hafiz dan sepanjang prosiding berlangsung, tiada seorang pun doktor dipanggil memberi keterangan.

“Selepas kes ini diperhalusi dan diteliti daripada semua aspek dan mengambil kira implikasi kepada masyarakat, mahkamah menolak permohonan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf Hafiz selaku pempetisyen tidak hadir di mahkamah semalam dan hanya diwakili peguamnya, Horley Isaacs.

Buru buaya ganas

SARATOK: Lebih 2,000 penghuni empat rumah panjang dan dua perkampungan di sepanjang Sungai Seblak, Kabong di sini, diarah menjalani perintah berkurung selama lima hari selepas pihak berkuasa membabitkan polis dan tentera menggerakkan operasi besar-besaran bermula semalam bagi memburu buaya ganas di sungai itu.
Arahan pihak berkuasa itu membabitkan penduduk Iban dan Melayu di kawasan berkenaan yang diminta menghentikan semua aktiviti di sungai bermula jam 4 petang sehingga 12 tengah malam sehingga Jumaat ini.

Arahan itu bagi melicinkan operasi menangkap kira-kira 60 buaya ganas setiap satu berukuran 2.5 meter dan dikenal pasti mengancam keselamatan penduduk kawasan itu.
Ketua Penyelaras Operasi merangkap Pegawai Tadbir Kanan Pejabat Daerah Kabong, Nazari Bujang berkata, larangan turun ke sungai itu bertujuan memastikan keselamatan penduduk terjamin ketika operasi dijalankan.

Menurutnya, arahan perintah berkurung itu dibuat kerana pihaknya bimbang kemungkinan penduduk terkena peluru sesat kerana anggota yang terbabit dalam operasi berkenaan akan melepaskan tembakan jika terserempak buaya dikenal pasti mampu mengancam nyawa.

“Memang kita akui sungai menjadi nadi utama kehidupan harian penduduk di kawasan itu, tetapi kami berharap sepanjang tempoh operasi, mereka mematuhi arahan supaya menghentikan sementara aktiviti di sungai.
“Jika penduduk mahu keluar ke pekan, mereka boleh menggunakan jalan darat dari Kampung Emplam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan 30 anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Ikatan Relawan Rakyat (Rela).